Nilai sebuah kehidupan

Setiap kali berjumpa dengan kenalan, kebanyakannya akan bertanyakan “kau buat apa sekarang?” dan jawapan kebiasaannya, “aku kerja di …”.

Kehidupan terlalu berkisar tentang pekerjaan. Manakan tidak, dari Isnin hingga Jumaat, dari 8 pagi hingga 7 malam kehidupan berkisar  dengan pekerjaan.

Saya pernah menulis ringkas tentang kehidupan seimbang sebelum ini tetapi kali ini saya ingin mengupas lebih banyak tentang nilai sebuah kehidupan.

Kita tau kehidupan bukan hanya pekerjaan, malah lebih dari itu. Mari kita lihat dari pelbagai aspek. Saya harap senarai di bawah merangkumi kesemuanya. Atau paling tidak semua yang penting.

  1. Nilai kepada agama – berapa banyak usaha kita lakukan untuk beribadah kepada Allah, selawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w., mendermakan harta ke jalan yang diredhai, menyampaikan ilmu agama, menyeru kepada yang baik dan menegah perkara mungkar
  2. Nilai kepada keluarga – berapa banyak usaha kita untuk menziarah, menjaga kebajikan dan membantu ayah dan ibu. Berapa banyak usaha dan tindakan yang dibuat untuk membahagiakan isteri/suami. Berapa banyak masa diluangkan untuk memberi perhatian kepada anak-anak. Berapa banyak masa juga diluangkan untuk mengambil berat tentang saudara mara walaupun dengan memberi kunjungan setiap 2 atau 3 kali setahun.
  3. Nilai kepada jiran dan rakan – Berapa banyak usaha kita menghubungkan semula silaturrahim yang telah putus sekian lama. Adakah dengan update facebook menunjuk2 kecomelan anak, makanan lazat, percutian keluarga ke luar negara itu dikira sebagai menghubungkan silaturrahim?
  4. Nilai kepada masyarakat dan negara – membantu meningkatkan ekonomi, memperbaiki nilai sosial. Ia bermula dari individu dan keluarga yang membentuk masyarakat. Jadi tak perlu tunggu “orang lain” bertindak. Mulakan dengan kita dan keluarga kita.
  5. Nilai kepada diri sendiri – apa yang kita mahu dalam kehidupan ini. Ia berbalik kepada semua di atas. Untuk menjadi orang yang berguna, kita perlu memberi nilai kepada orang lain. Untuk memberi nilai kepada orang lain, kita perlu berusaha menyiapkan diri untuk belajar, berusaha dan berbakti.

Jadi bila dilihat semua di atas, adakah kita cukup bernilai? Bagaimana kita menetapkan nilai hidup kita? Adakah dengan hanya cemerlang  bekerja kita akan menjadi bernilai?

Fikirkan hala tuju sebenar hidup (tempat sementara sebelum kita mati dan dibangunkan semula). Jadi jadilah orang yang betul-betul mempunyai nilai. Mampu berbakti dan memberi kepada yang perlu. Bukan hanya pentingkan diri sendiri dan harta benda.

Wallahua’alam.

Masukkan email anda untuk pengumuman posting baru. Tiada posting baru, tiada email akan dihantar 🙂

Delivered by FeedBurner

Categories: Motivation, Personal
Leave a comment

Leave a Reply

Required fields are marked *